Adalah tidak adil bagi Yang Teramat Mulia jika perkara yang disebut-sebut tentang Baginda hanyalah rupa parasnya sahaja. Tengku Mahkota Pahang (TMP), yang merangkap Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, kelihatan semakin terkenal dikalangan rakyat jelata sejak pelantikan dan pemasyhuran Baginda pada tarikh keramat 29 Januari 2019 yang lalu.
Populariti Baginda semakin meningkat naik sejak aktif menjalankan tugas sebagai Pemangku Raja Pahang dan baru-baru ini sebuah media bertaraf antarabangsa iaitu SCMP turut tertarik untuk membuat artikel mengenai Baginda yang disifatkan telah mengatasi populariti Prince Harry! Media tersebut juga melabelkan Baginda “he is the definition of humble and down to earth” dan “outspoken environmentalist prince”.
Mari mengenali TMP kesayangan rakyat Pahang ini dengan lebih dekat.
Kehadiran seorang Putera
Hari keputeraan Baginda yang jatuh pada 17 September 1995 telah menjadi khabar berita gembira bagi seluruh warga istana. Menurut jururawat istana, Datin Pathma Ramanathan, “Tengku Hassanal seorang bayi yang sangat sempurna, elok rupa parasnya, mudah dijaga dan sangat baik.
“Baginda tidak banyak ragam, kurang menangis,” tambah beliau lagi. Ternyata Yang Teramat Mulia telah mula mendapat puji-pujian sejak hari pertama Baginda di muka bumi lagi.
Pelantikan sebagai Tengku Mahkota Pahang
Pada 29 Januari 2019, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah telah dilantik dan dimasyhurkan sebagai Tengku Mahkota Pahang. Oleh kerana Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga akan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, Tengku Hassanal telah dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang pada hari yang sama.
Istiadat yang gilang-gemilang itu telah berjaya menyentuh hati beberapa netizen di media sosial. Ada yang melontarkan ketakjuban terhadap Tengku Mahkota Pahang kerana perlu memikul tanggungjawab yang begitu besar pada usia yang begitu muda. Ucapan tahniah juga tidak putus-putus diucapkan oleh rakyat jelata. Ramai juga yang sayu melihat pandangan Tunku Hajah Azizah terhadap Putera Baginda; pandangan yang penuh dengan kasih dan sayang, kata kebanyakan netizen.
Sejurus pengisytiharan tersebut, Sultan Abdullah bertitah menasihati Puteranya: “Jangan sesekali Paduka Anakanda bersikap riak dan angkuh. Ambillah resmi padi, makin berisi makin menunduk.
“Kepada Paduka Anakanda Tengku Mahkota Pahang, anakanda kini adalah waris ganti kepada Paduka Ayahanda. Paduka Anakanda bukan sahaja bakal mewarisi takhta kerajaan negeri Pahang, malahan Paduka Anakanda bakal memikul tanggungjawab untuk memelihara serta mempertahankan legasi Kesultanan Melayu Pahang.
“Oleh itu ambillah pengajaran daripada pepatah Melayu lama yang berbunyi umpama minyak setitik, di laut sekalipun timbul juga iaitu jika anakanda berbuat baik, Paduka Anakanda akan tetap dihormati, dimuliakan walau di mana-mana sekalipun berada,” titah Sultan Abdullah.
Walaupun hanya sebagai seorang rakyat biasa, pastinya berasa tersentuh membaca pesanan seorang Ayahanda kepada Anakandanya yang bakal melangkah ke fasa baharu yang penuh liku, dek tanggungjawab menjaga rakyat dan negeri.
‘Raja dan rakyat berpisah tiada’
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah merupakan seorang Pemangku Raja yang sangat mesra rakyat. Pernyataan ini adalah tidak asing lagi malahan sering menjadi buah mulut di kalangan rakyat. Perkara ini membuktikan bahawa Tengku Mahkota Pahang telah dibesarkan dengan sangat baik oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong kita.
Baginda ternyata kelihatan mewarisi sikap ayahanda dan bondanya; kerap kali turun padang untuk aktiviti kemasyarakatan terutamanya di Pahang. Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sering menunjukkan usahanya untuk meneruskan kesinambungan prinsip Keluarga Diraja Pahang iaitu ‘Raja dan Rakyat berpisah tiada’.
Untung sungguh rakyat Negeri Darul Makmur ini dengan adanya seorang Putera Raja yang sangat mengambil berat tentang rakyatnya.
Pencinta Alam Sekitar
Kasih sayang Tengku Mahkota Pahang tidak terhenti pada rakyatnya sahaja. Negeri Pahang, yang menurut Baginda ‘penyumbang oksigen utama’, turut mendapat perhatian Yang Teramat Mulia.
“Pahang merupakan penyumbang oksigen utama dan habitat bagi hidupan liar flora dan fauna di Semenanjung Malaysia. Saya menyeru kepada kerajaan saya agar keluasan kawasan hutan simpanan kekal kini yang berjumlah 1.59 juta hektar dapat ditambah dari semasa ke semasa agar Pahang kekal signifikan sebagai green lung untuk Semenanjung Malaysia,” titah Baginda, yang juga menyeru semua pihak agar mengambil serius tentang pelaksanaan ESG.
Titah Baginda menunjukkan bahawa Baginda sangat prihatin terhapat kehijauan negeri Pahang, oleh kerana kepentingan hutan simpanan tersebut bagi seluruh rakyat Malaysia.
Pada Jun lalu, Baginda telah bertitah agar kerajaan Negeri Pahang bersama Kerajaan Pusat mempertahankan pengiktirafan bertaraf dunia Tasik Chini sebagai permata alam sekitar di negeri ini dan Tapak Rezab Biosfera Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa Bangsa Bersatu (UNESCO) yang pertama di negara ini.
Menurut Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal berkata bahawa Pemangku Raja Pahang menyeru agar semua pihak untuk sentiasa mengamalkan prinsip alam sekitar, sosial dan urus tadbir yang baik supaya khazanah alam hari ini akan terus kekal dan dapat dinikmati oleh generasi akan datang.
Sehubungan dengan itu, Baginda menyarankan agar aktiviti perlombongan di Tasik Chini dihentikan, sejurus mencadangkan agar kawasan bekas lombong itu dipulihkan semula dengan penanaman pokok yang bersesuaian.
“Pemangku Raja Pahang juga menitahkan agar meluaskan lagi kawasan Hutan Simpan Chini yang sedia ada seluas 4600 hektar kepada kira-kira 6000 hingga 7000 hektar bagi menjaga kepentingan flora dan fauna di kawasan itu dan sekitarnya,” tambah Datuk Ahmad Khirrizal lagi.
Hasrat orang ramai untuk mengekalkan alam sekitar dan ekosistem bumi Malaysia pastinya akan lebih mudah direalisasikan dengan adanya sokongan Tengku Hassanal Alam Shah yang tidak putus-putus.
“Bukan masanya berebut kuasa.”
Sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang secara atas talian yang lalu, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bertitah agar rakyat bersatu dan bekerjasama mencari penyelesaian terbaik dalam menangani pandemik Covid-19.
“Waktu ini bukan masanya untuk berebut kuasa, bersengketa dan berbicara tanpa berbuat apa-apa sebaliknya inilah masanya untuk kita bersatu tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik untuk menang menentang ancaman musuh yang tidak kelihatan itu.
“Pandemik ini satu ujian Allah SWT yang harus diterima umat Islam biarpun ia memberi kesan kepada kehidupan seharian termasuk dalam aktiviti agama, ekonomi dan sosial,” titah Baginda.
Tengku Mahkota Pahang menyeru semua pihak termasuk kerajaan, agensi kerajaan, wakil rakyat, badan bukan kerajaan, pihak swasta, penghulu, ketua kampung dan jawatankuasa masjid agar sentiasa cakna terhadap rakyat yang terkesan ekoran pandemik Covid-19.
Titah Baginda pastinya membolehkan rakyat menghembuskan sedikit nafas lega kerana ia menunjukkan bahawa Baginda cakna tentang keperitan yang dilalui rakyat di zaman pandemik ini. Diharapkan dengan titah Pemangku Raja Pahang, bantuan yang bersesuaian akan terus menerus disalurkan kepada yang memerlukan.
Pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang di Istana Abu Bakar baru-baru ini juga, Pemangku Raja Pahang ini tidak jemu bertitah menasihatkan penerima darjah kebesaran agar menjaga kemuliaan dan gelaran yang diberikan.
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut bertitah bahawa setiap kurniaan di bumi Allah datang bersama tugas dan amanah yang wajib dijunjung.
“Jangan sesekali bersikap riak dan angkuh, sebaliknya ambil resmi padi yang semakin berisi semakin menunduk. Berilah sumbangan sebaiknya kepada negeri dan rakyat beta.
“Titah nasihat Baginda serta contoh teladan yang dipamerkan tidak lain hanya melambangkan keikhlasan dan kasih sayang tulen dalam hati Baginda kepada rakyat, bukan hanya di peringkat negeri bahkan ke seluruh negara yang secara tidak langsung, menjadi contoh yang baik dan menaikkan nama negara di mata dunia,” titah Yang Teramat Mulia.
Bukan sekadar paras rupa
Diharapkan rakyat Malaysia akan mengenali Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dengan lebih baik lagi. Insan terpilih yang suatu hari nanti bakal ditabalkan sebagai Sultan Pahang Ke-7 ini, ternyata mempunyai keperibadian yang layak dicontohi dan dijadikan sebagai motivasi terutamanya bagi kaum muda.
Berbebankan tanggungjawab di bahu, perlu juga kita ingat bahawa Baginda tetap seorang manusia; di mana penting untuk kita berhati-hati dengan setiap kata-kata atau komen-komen yang ingin disuarakan. Walaupun Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sering diperkatakan tentang ketampanan wajah, berfizikal tinggi dan sempurna, marilah juga kita meraikan sifat berjiwa rakyat Baginda yang begitu komited untuk menjaga negeri dan rakyatnya.
Dirgahayu Tuanku.
Featured Image Origin: House of Pahang | Facebook Page
Under Commercial Use & Mods Allowed