AllSight Malaysia Logo

#GreenTick: Kempen Alam Sekitar TMP

Ketahui mengenai kempen ini dan tujuannya.
#GreenTick TMP - AllSight Malaysia

Pada 3 September yang lalu, Pemangku Raja Pahang juga merupakan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dalam perkongsian Baginda di laman media sosial Instagram telah menyeru rakyat jelata untuk memberi sokongan bagi #GreenTick.

Baginda yang sememangnya telah dikenali dikalangan rakyat Pahang didapati juga semakin dikenali oleh seluruh Malaysia dan media antarabangsa atas personaliti mesra dan prihatin kepada isu semasa terutamanya melibatkan alam sekitar.

Menurut Baginda, antara kepentingan Green Tick adalah supaya Green Leaders dari seluruh pelusuk dunia dapat mengidentifikasi sesama sendiri bagi membentuk suatu barisan hadapan yang bersatu padu memelihara alam sekitar. 

Sebagaimana Blue Tick diberikan sebagai lencana pengesahan yang memastikan bahawa akaun tersebut adalah akaun sahih bagi tokoh masyarakat, selebriti atau jenama yang diwakilinya, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berharap agar Instagram dapat memberikan lencana ditentusahkan yang berwarna hijau untuk menunjukkan bahawa akaun tersebut memberi sokongan ke arah bumi yang lebih hijau.

Prinsip ESG

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah pernah bertitah supaya mengamalkan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus atau Environmental, Social and Governance (ESG), dan agar prinsip tersebut juga dijadikan panduan dalam menjadi khalifah di bumi ini. ESG adalah kriteria yang digunapakai untuk menilai kesan amalan dan pelaksanaan sesebuah syarikat kepada prestasi kewangan dan syarikat mereka. Baginda menekankan bahawa setiap lapis masyarakat perlu menguruskan segala nikmat alam yang dipinjamkan oleh Allah SWT. 

Gambar: this.7 | IG

“Matlamat tidak menghalalkan cara,” Baginda bertitah sekaligus menyeru bahawa pembangunan dan kemajuan perlulah mengekalkan kelestarian alam sekitar flora dan fauna, serta dilaksanakan dengan impak yang paling minima.

Sempadan Hijau Negeri

Pemangku Raja Pahang bertitah kepada kerajaan Pahang agar melaksanakan inisiatif Sempadan Hijau Negeri yang meliputi kawasan sempadan negeri sepanjang 1,087 kilometer dan lebar lebih kurang 500 meter yang merangkumi keluasan 54,350 hektar. Sebahagian besar kawasan itu pula perlu diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK).

“Baginda bertitah kawasan tersebut perlu menjadi kawasan perlindungan bagi hidupan liar, flora dan fauna sepenuhnya. Baginda mengutuk sekeras-kerasnya aktiviti pemburuan haram di negeri Pahang,” kata Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab. Rahman dalam kenyataannya kepada pemberita.

#greenborder #pushup4environment. Video: this.7 | Ig

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah juga bertitah bahawa kawasan-kawasan strategik bagi hidupan liar, flora dan fauna seperti Taman Negara, Taman Negeri Endau Rompin, hutan lipur dan hutan rimba, Tasik Chini dan Tasik Bera, Bukit Fraser, gunung-gunung, kawasan gua, tadahan air dan sungai, pantai dan pulau-pulau serta kawasan penempatan Orang Asli terus kekal dipelihara.

Menjadi seorang pemimpin kepada negeri ketiga terbesar di Malaysia, yang juga rumah kepada Taman Negara terbesar di Malaysia, Baginda amat menitikberatkan isu-isu alam sekitar yang berlaku di negeri tersebut.

Tanggungjawab bersama

Benar, alam sekitar tidak boleh sembuh hanya dengan hashtag #GreenTick dan lencana pengesahan, sokongan tersebut perlu diikuti dengan sifat bertanggungjawab semua individu. Perilaku sekecil-kecil tidak membuang sampah merata-rata terutamanya di kawasan alam sekitar, menutup suis dan menjimatkan air, pastinya semua itu berpotensi untuk membawa impak yang lebih besar dalam menghijaukan semula bumi kita.

TMP dikenali aktif dalam sukan-sukan lasak dan berkaitan dengan alam sekitar. Gambar: this.7 | IG

Memetik kata-kata Wendell Berry, seorang penulis dan aktivis alam sekitar, “The Earth is all we have in common.” Penting untuk kita terapkan dalam diri kita bahawa memelihara bumi adalah tanggungjawab kita semua, baik untuk kepentingan generasi akan datang mahupun keselesaan kita pada masa kini.

Let us aim for a new Golden Era for Mother Nature,” Tengku Mahkota Pahang berharap agar semua individu mengutamakan alam sekitar dalam setiap aspek kehidupan. Semoga #GreenTick dapat meningkatkan kecaknaan masyarakat justeru meningkatkan pula sokongan terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, ke arah bumi hijau.

Featured Image Origin: this.7 | Instagram

Under Commercial Use & Mods Allowed

Cookie Consent with Real Cookie Banner