PULAU peranginan Langkawi, Kedah boleh dikunjungi pelancong domestik dari seluruh negara bermula esok. Pemakluman berhubung prosedur operasi standard (SOP) gelembung pelancongan (travel bubble) projek rintis Pulau Langkawi yang merupakan geologi bertaraf dunia itu diumumkan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Sri Nancy Shukri sebelum ini.
Beliau dalam satu kenyataan berkata, pulau itu boleh dikunjungi pelancong domestik yang memenuhi kriteria SOP termasuklah pelancong dari negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Walaubagaimanapun, kebenaran ini tidak terpakai kepada mereka yang sedang berada di kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” ujar beliau.
Kelonggaran terbaru ini menjadi polemik dengan ada yang teruja dan ada juga yang kurang bersetuju terutamanya dikalangan segelintir penduduk Langkawi.
Selain itu, pelbagai promosi dan tawaran menarik kelolaan pihak Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) melalui Tourism Malaysia melibatkan promosi tiket penerbangan, penginapan serta pakej cuti penjawat awam dan pesara Kerajaan untuk dinikmati oleh pelancong tempatan.
Melihat kepada kawasan peranginan lain terutamanya pantai dan sungai untuk berkelah dilimpahi dengan pengunjung baru-baru ini (hingga menjadi viral!), sudah pasti Langkawi juga akan dibanjiri dengan ribuan pelancong domestik. Langkawi Cable Car dan Langkawi Sky Bridge sudah pasti merupakan salah satu kawasan tumpuan utama namun alam geologinya juga sangat menarik dan perlu dikunjungi jika berpeluang.
Tidak ketinggalan juga seorang Ahli Geologi, Ahmad Zulqurnain Ghazalli berkongsi fakta menarik (yang ramai tidak tahu) berkenaan Langkawi sebagai lokasi geologi bertaraf dunia di laman Facebook hari ini.
Beliau mula dikenali di media sosial sebelum ini apabila berkongsi sudut pandangan mengenai tragedi yang berlaku di Gunung Jerai, Kedah pada bulan Ogos lepas.
Artikel beliau yang ringkas dan padat disertakan dengan gambar berkaitan serta sumber rujukan sesuai dibaca bagi meningkatkan pengetahuan disamping semangat cintakan alam sekitar di dalam negara serta boleh juga dijadikan rujukan untuk destinasi pilihan pelancong.
Ikuti perkongsian beliau seperti berikut:
Sempena esok boleh melancong ke Langkawi. Meh sini aku kongsikan benda menarik yang ramai orang tak tahu berkenaan Langkawi Geopark yang diwartakan oleh UNESCO sebagai Global Geopark pertama di Asia Tenggara dan yang ke 52 di Dunia.
Setelah belasan tahun kajian mengenai keunikan muka bumi Langkawi dijalankan sehinggakan pada tahun 2007 tiga pakar geologi UNESCO telah membuat penilaian dan akhirnya mengiktiraf keunikan geologi Pulau Langkawi.
Jom kita tengok apa yang menarik di Langkawi Geopark ni?
1. Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo pernah menyebut bahawa dengan pengiktirafan UNESCO ini, Langkawi Geopark setanding dengan tapak warisan dunia lain termasuk Grand Canyon di Amerika Syarikat.
2. Nak bagi mudah, Di dalam Langkawi Geopark terdapat 3 Geoforest menarik yang menjadi tumpuan. Aku sertakan map supaya semua senang nak bayangkan (Gambar 1). Ianya terdiri daripada :
i. Machinchang Cambrian Geoforest Park
ii. Kilim Karst Geoforest Park
iii. Dayang Bunting Marble Geoforest Park

3. LOKASI PERTAMA. Batuan tertua di Asia Tenggara. 550 juta tahun (Kambiria). Inilah usia batuan yang terdapat di Machinchang Cambrian Geoforest Park. Kalau ke kawasan sini ni nanti akan nampak lapisan macam kek lapis tu. Haaa. Tu lah Batu Pasir (sandstone) yang usia dia dah 550 juta tahun. Jangan lupa selfie dengan batu yang tua dan lawa ni!
4. Di sini juga korang akan dapat tengok morfologi (bentuk muka bumi) yang mempesonakan. Akibat dari proses geologi seperti enapan batuan pasir, rejahan batuan granit, proses canggaan, lipatan dan sebagainya.
Seperti di enapan batu pasir di Tanjung Chinchin Dip Slope dan juga air terjun 200m tinggi yang membelah sandstone akibat terdapatnya fault line di Temurun Waterfall. Fuhh. Lawa dan mendamaikan! (Gambar 2)



5. LOKASI KEDUA. Bila dah namanya batu kapur. Memang pelbagai morfologi rare dan unik akan berlaku. Inilah yang terdapat di Kilim Karst Geoforest Park. Batu Kapur tertua di Malaysia. Dengan usia 490 juta tahun. Di sini terdapat monumen geologi iaitu geotapak dengan nilai saintifik yang sangat tinggi hierarki dalam pemuliharaan. Di sini memang ngam kalau korang nak bergambar berlatarbelakangkan bentuk batu kapur yang cun melecun (Gambar 3)



6. Fosil dengan usia 505 ke 286 juta tahun dahulu juga telah ditemui di kawasan Kilim ni. Ada macam2 jenis fosil yang ditemui (Gambar 4)



7. LOKASI KETIGA. Selain daripada terdiri daripada batu marmar berkualiti tinggi. Di Dayang Bunting Marble Geoforest Park juga terdapat Tasik Dayang Bunting yang mempunyai bentuk seperti ibu mengandung yang merupakan kesan daripada merupakan sebuah dolina ataupun sinkhole dalam bahasa geologinya (runtuhan batu kapur) yang dipisahkan dengan lautan oleh dinding batu kapur yang berketebalan kurang daripada 10m sahaja. Jadi di sini adalah air tawar. (Gambar 5)



8. Di lokasi 3 ini juga tak kalah dari sudut morfologinya yang memang sangat menarik untuk bergambar. Bahkan di sini juga boleh ditemui batu jatuh asalan glasier berusia 1 bilion tahun. Batu jatuh ni maksudnya batu tu dari kawasan lain yang jatuh di batuan asal sini ketika proses pembentukan batuan sini. (Gambar 6)



Ok. So kalau ke Pulau Langkawi nanti. Selain beli cokelat dan jalan-jalan tepi pantai. Aku syorkan korang untuk pergi ke Geoforest park yang sampai warga asing seluruh dunia pun datang nak tengok keunikan dia ni.
Lagi 1. Langkawi ni menjadi wishlist kami di Geoventure Solution Sdn Bhd untuk company trip kalau kami meet target for this year. Doakan kami agar capai target dan boleh hora horey sambil menghargai khazanah alam.
Rujukan :
1. https://langkawigeopark.com.my/
3. http://www.ukm.my/…/2.%20A.%20Rahman%20Hj.%20Zainol.pdf
4. https://www.jmg.gov.my/…/355-langkawi-geopark…
5. https://ms.wikipedia.org/wiki/Langkawi_Geopark
Yang mengkaji alam,
P.Geol, Ahmad Zulqurnain Ghazalli
#zulyangtaip #memasyarakatkangeologi #geoventure
Artikel ini diolah dan dimuatnaik ke AllSight Malaysia (ASM) dengan kebenaran daripada sumber asal.