AllSight Malaysia Logo

Belia Letak Harapan Tinggi Kepada Calon Muda PRN Johor

Aspirasi membina belia untuk masa hadapan

“We cannot always build the future for our youth, but we can build our youth for the future”. Franklin D. Roosevelt.

Calon-calon muda yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor perlu tegas dalam memperjuangkan suara anak muda di negeri ini.

Itu yang disuarakan golongan muda di negeri ini yang amat mengalu-alukan pencalonan muka baharu serta anak muda, seterusnya membawa budaya politik baharu demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat untuk jangka masa panjang.

Selepas Johor berdepan konflik politik sehingga diheret ke gelanggang PRN ketika tempoh pandemik Covid-19, fokus sepatutnya diberikan kepada calon dan bukan lagi parti.

Langkah kesemua gabungan parti yang berani menampilkan calon muda wajar diraikan bersama.

Suara anak muda boleh bersatu dan mentadbir dengan baik demi kebaikan kerajaan negeri tidak kira parti mana mendapat mandat nanti.

Penduduk belia di Johor juga didapati kebanyakannya meletakkan harapan tinggi kepada calon muda bagi membawa perubahan besar.

Tidak kisah siapa atau parti mana pun, janji dapat membantu orang susah dan tidak hanya datang apabila pengundian sahaja. Kehendak utama anak muda antaranya fokus kepada usaha mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih banyak.

Strategi meletakkan calon muda oleh kebanyakan parti politik pada PRN Johor jelas menunjukkan impak yang positif terhadap transformasi politik negara.

Ia secara tidak langsung menandakan pucuk pimpinan parti menghargai kewibawaan calon muda ini sebagai pelapis kepimpinan negara.

Dengan meletakkan calon muda ia memberi kelebihan kepada parti-parti politik untuk memenangi hati para pegundi terutamanya pengundi kali pertama.

Dilihat memang ramai dari pengundi baru terutamanya golongan mahasiswa adalah orang muda dan itu adalah kelebihan kepada kedua-dua parti untuk memenangi hati mereka dengan menampilkan calon muda supaya ia lebih dekat dengan jiwa atau cara anak muda sekarang ini tentang calon mana yang ingin mereka pilih.

Dengan adanya calon muda dalam arena politik ia dapat memacu negara ke tahap lebih gemilang melalui idea-idea baru yang diketengahkan.

Antara calon muda di PRN Johor yang menarik perhatian kerana peribadi yang mesra dan bersih adalah calon BN bagi N.30 Paloh iaitu Lee Ting Han merupakan seorang peguam berumur 32 tahun.

Pertama kali bertanding menentang penyandang calon DAP di N.30 Paloh didapati tidak sedikitpun membimbangkan peguam muda ini.

Lee Ting Han Calon BN N.30 Paloh

Berbaki sehari lagi tempoh berkempen, gerak kerja kuat dan dinamik dapat diperhatikan sejak hari pertama bendera BN sudah menguasai kawasan N.30 Paloh. Lee Ting Han yang berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang Komersial didapati mendapat reaksi positif di semua peringkat pengundi kerana keperibadian rendah diri dan mesra rakyat selain tampak meyakinkan untuk mewakili suara pengundi.

Misi beliau jelas adalah untuk membangunkan ekonomi Paloh dengan berpandangan ekonomi pesat sudah pasti akan meningkatkan peluang pekerjaan.

Semangat Belia

Sementara itu, calon paling muda dalam PRN Johor, Kelly Chye Pei Yee, 26, berkata beliau mula berjinak-jinak dalam dunia politik selepas membantu bapa saudaranya, Chye Kwee Yeow, yang juga calon BN untuk berkempen pada 2013.

Kelly Chye Pei Yee Calon N.28 Mengkibol bersama Mantan Perdana Menteri Najib Razak

“Saya bantu pakcik berkempen pada 2013. Saya mula faham politik dan saya pilih jurusan undang-undang di peringkat ijazah di Universiti Multimedia kerana saya harap dengan ilmunya yang ditimba dapat digunakan untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya yang bertanding di kerusi Mengkibol.

Beliau berkata, antara cabaran paling besar dihadapinya sebagai calon termuda adalah mendepani persepsi orang ramai bahawa beliau masih mentah dan tiada pengalaman dalam bidang politik.

Namun, beliau yakin dapat memberi perkhidmatan terbaik, khususnya kepada golongan muda dan berharap mendapat sokongan serta kepercayaan penduduk Mengkibol.

“Aspirasi saya adalah meningkatkan peluang pekerjaan di Kluang supaya anak muda boleh kembali bekerja dan keluarga mereka tidak berpecah-belah akibat ketidakmampuan kewangan,” katanya.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada Universiti Multimedia (MMU) bakal ditentang Wong Chan Giap daripada Perikatan Nasional (PN) dan penyandang DUN Mengkibol iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Chew Chong Sin.

Cookie Consent with Real Cookie Banner