AllSight Malaysia Logo

Akta Anti-Lompat Parti Kembalikan Keyakinan Rakyat – T. Mohan

Akta dijangka diwartakan pada 2 Sept
Akta Anti-Lompat Parti - T. Mohan

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Negara, Datuk T. Mohan menyuarakan keyakinan bahawa Akta Anti-Lompat Parti akan dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi negara.

T. Mohan yang juga Naib Presiden MIC berkata demikian ketika ditemui mengadakan program bersemuka dengan Persatuan Penduduk dan KRT Taman Melati, Serendah, Hulu Selangor baru-baru ini bagi membincangkan permasalahan penduduk setempat.

“Saya menegaskan kepada Kerajaan supaya dapat menyeragamkan Akta Anti-Lompat Parti ini bagi peringkat Dewan Undangan Negeri agar dapat mengembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi selain dapat menstabilkan senario politik negara,” katanya.

“Saya akan sentiasa menyokong penuh RUU Anti-Lompat Parti demi mengutamakan mandat rakyat ke arah melestarikan pembangunan negara,” katanya lagi.

Sebagai rekod, RUU ini mendapat sokongan penuh daripada 52 Ahli Dewan Negara yang hadir dan 7 ahli tidak hadir.

Akta Anti-Lompat Parti - T. Mohan
T. Mohan semasa program bersama penduduk setempat di Serendah, Hulu Selangor baru-baru ini.

Dewan Rakyat sebelum ini telah sebulat suara meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Anti-Lompat Parti melalui undi belah bahagi selepas bacaan ketiga.

RUU itu diluluskan selepas perbahasan selama dua hari bermula 27 Jul yang lepas melibatkan 54 Ahli Parlimen.

Semasa undi belah bahagi yang diumumkan Speaker Dewan Rakyat Rakyat Azhar Harun, seramai 209 Ahli Parlimen mengundi menyokong dan 11 lagi tidak hadir.

Penggubalan akta anti-lompat parti memerlukan sokongan dua pertiga majoriti di Parlimen bagi meminda Perkara 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Pembentangan RUU anti-lompat parti adalah salah satu syarat utama memorandum persefahaman (MoU) antara YAB Perdana Menteri dan Pembangkang.

Selain itu, Akta Anti-Lompat Parti yang ditunggu-tunggu ini dijangka diwartakan pada 2 Sept, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini.

Dalam kenyataan, Wan Junaidi berkata sebaik saja rang undang-undang (RUU) itu diluluskan Parlimen, ia akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 26 Ogos untuk mendapat perkenan dan pewartaannya akan dibuat antara 29 Ogos dan September depan.

Namun demikian, Wan Junaidi turut berkata, beliau setuju RUU itu bukan penyelesaian 100% kepada semua permasalahan yang timbul.

Cookie Consent with Real Cookie Banner