DALAM usaha memberi kesedaran kepada orang ramai tentang pentingnya mengekalkan keseimbangan alam semula jadi, seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi sanggup mengeluarkan puluhan ribu ringgit bagi menjayakan misi jelajah S. Katiravan solo ride ke hampir seluruh dunia.
S. Katiravan, 61, memberitahu, inisiatif yang dilakukannya adalah sebahagian daripada usaha murninya untuk menyedarkan masyarakat supaya tidak sewenang-wenangnya melakukan kemusnahan alam semula jadi yang akhirnya memberi kesan kepada manusia itu sendiri.

Beliau ketika ini baru sahaja memulakan misi baharu menjelajah menggunakan motosikal kesayangannya BMW R 1200 GSA ke negara-negara seperti Singapura, Filipina, Indonesia, Timor-Leste, Australia, New Zealand, Korea Selatan, Jepun, Rusia, Mongolia, Eropah, Kanada, Amerika Selatan, Afrika, Timur Tengah, negara-negara Arab, Asia Tengah, Pakistan, China, India, Sri Lanka, Laos, Kemboja, Vietnam dan sebagainya.
Usaha ini dianggarkan melibatkan jarak perjalanan 120,000km dengan mengambil masa selama 1 tahun dan 7 bulan. Ianya tidak mudah dilaksanakan dengan memerlukan kelulusan memasuki setiap negara, cuaca yang berbeza, perbezaan bahasa, budaya dan sebagainya. Selain usaha menyedarkan kepentingan menjaga alam sekitar, beliau turut mengambil peluang mengibarkan dengan megah bendera Malaysia, Jalur Gemilang.



Beliau sebelum ini telah menjelajah ke beberapa negara Asia seperti Thailand, Myanmar, Bhutan, India, Pakistan, Bangladesh dan Nepal dengan mengambil masa 64 hari sejauh 22,022km.



Bagi misi baharu ini, S. Katiravan telah mendapat sokongan penuh YB Senator Datuk T. Mohan yang merupakan Naib Pengerusi NIOSH (National Institute of Occupational Safety and Health) di mana satu pertemuan telah diadakan bagi perbincangan cabaran yang dihadapi dan sebagainya.
T. Mohan pada masa sememangnya aktif membantu individu atau kumpulan tertentu tanpa mengira kaum terutamanya berkaitan pembangunan bola sepak, kebajikan dan sebagainya selain pada masa kini turut memfokuskan aktiviti sosial beliau di Daerah Hulu Selangor selain ke seluruh negara yang mana beliau juga merupakan Naib Presiden MIC.
Menyentuh mengenai kehidupan peribadi S. Katiravan atau nama penuhnya Katiravan Subarayan, beliau seringkali menzahirkan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan berpuashati akan keamanan di Malaysia.
Beliau pernah berkongsi pengalamannya semasa kembara ke Johor dan Singapura dari Kuala Lumpur bersama rakan rider berbangsa Melayu di mana beliau merasa terharu apabila turut dipelawa berehat ke dalam sebuah masjid di Johor dan juga turut berbuka puasa bersama di dalam sebuah masjid di Singapura pada tahun 2016.
“Saya dapat rasakan betapa harmoninya kita hidup di Malaysia walaupun berbilang bangsa dan agama tetapi kita boleh berkawan dengan baik sehingga kini. Saya berdoa semoga kesejahteraan rakyat Malaysia sentiasa terpelihara,” tulis S. Katiravan di akhir postingnya.