KUALA LUMPUR: MIC akan membantu BN memenangi semula 40 kerusi Parlimen, yang mana pengundi India merupakan ‘kingmakers’ pada Pilihanraya Umum Ke-15.
Datuk T. Mohan (Naib Presiden MIC) memberitahu media menyatakan keyakinan bahawa lebih 50 peratus pengundi India dijangkakan akan kembali menyokong BN ekoran hilang keyakinan terhadap PH yang hanya mampu memerintah selama 22 bulan sahaja. Mohan juga berkata, parti kini lebih bersepadu di bawah kepimpinan Tan Sri S.A. Vigneswaran, tiada permasalahan dalaman atau pertelingkahan dikalangan pemimpin tertinggi.
“Tempoh pemerintahan PH merupakan kekecewaan besar kepada komuniti India kerana memacu negara dengan mentaliti sebagai Pembangkang.
“PH juga gagal menunaikan banyak janji seperti menghapuskan tol dan memansuhkan Hutang PTPTN.
“Walaupun pentadbiran PH mempunyai empat menteri daripada kaum India, tiada seorang pun yang betul-betul membela kebajikan komuniti India kerana terlalu cuba menonjolkan diri sebagai pemimpin berbilang kaum.
“Akhirnya, MIC tampil untuk mempertahankan kepentingan komuniti apabila Datuk Seri M. Saravanan dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia.
“Ini yang membuatkan kita (parti) percaya bahawa sokongan akan kembali semula kepada BN. Kita telah meninggalkan satu legasi yang gagal ditandingi oleh PH.
“Tambahan pula, parti tidak lagi berpecah belah disebabkan permasalahan dalaman. Vigneswaran merupakan pemimpin kami.
“MIC kini telah stabil,” katanya lagi semasa ditemui di Program Pertandingan Sepakan Penalti Guru-Guru Daerah Hulu Selangor yang mana beliau merupakan penganjur dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Selangor dan Malaysian Indian Football Association (MIFA) melibatkan penyertaan 32 pasukan sekolah pada 24 Sep 2022 di SMK Syed Mashor, Batang kali.







Pada PRU-14 lepas, MIC mempertaruhkan calon di sembilan kerusi Parlimen dan 18 kerusi DUN.
MIC hanya menang di dua kerusi Parlimen – Tapah dan Cameron Highlands – dan tiga kerusi DUN – Jeram Padang (Negeri Sembilan), Tenggaroh dan Kahang kedua-duanya di Johor.
Pencapaian itu merupakan terendah di dalam PRU, menyamai pencapaian terendah semasa Pilihanraya Umum 1969, memenangi jumlah kerusi Parlimen dan DUN yang sama.
Pada Sep 2018, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan MIC akan memperoleh kuota kerusi Parlimen yang sama sepertimana Pilihanraya sebelumnya.
Zahis juga berkata, MIC terbuka untuk berunding dengan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan jika berkehendakan tambahan kerusi.
MIC merancang untuk memohon tambahan kerusi, kata Mohan.
“Namun, kita mahukan kerusi berpotensi menang. Tidak wajar meletakkan Calon MIC di kawasan seperti Bukit Bintang dan Seputeh (kedua-duanya kawasan majoriti Cina),” tambahnya lagi.
Berkenaan prospek MIC mengambil semula kerusi Cameron Highlands daripada UMNO, Mohan berkata ianya bergantung kepada pucuk pimpinan BN untuk menentukan.
“Secara peribadi, tiada masalah untuk BN mengekalkan komuniti Orang Asli di kerusi tersebut kerana mereka merupakan kaum majoriti.
“Namun BN sewajarnya menawarkan kerusi berpotensi lain,” katanya.
MIC sebelum ini memenangi kerusi Cameron Highlands sejak PRU 2004.
Semasa Pilihanraya Kecil pada Jan 2019, BN meletakkan Datuk Ramli Mohd Nor, yang kemudiannya menjadi Ahli Parlimen Orang Asli pertama.
Pada ketika itu, Vigneswaran menegaskan bahawa MIC hanya ”meminjamkan” kerusi tersebut kepada UMNO.
Sementara itu, Mohan memberi bayangan akan bertanding di Hulu Selangor pada PRU-15 manakala Vigneswaran dijangka akan bertanding di kubu tradisi MIC – Sungai Siput.