AllSight Malaysia Logo

Syed Saddiq Diperintah Bela Diri Terhadap Empat Pertuduhan 

Bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.
Syed Saddiq | AllSight Malaysia

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, memerintahkan Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membela diri berhubung empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.

Keputusan itu dibacakan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap semua pertuduhan di akhir kes pendakwaan itu.

“Saya sudah meneliti hujah dikemukakan pihak pendakwaan selepas memberi pertimbangan maksimum seperti ditetapkan undang-undang dan berpuas hati semua pertuduhan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

“Tertuduh diarahkan membela diri atas setiap pertuduhan terbabit.

“Ada tiga pilihan iaitu pertama berdiam diri dengan tidak menjawab pertuduhan atau kedua memberikan kenyataan tidak bersumpah tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.

“Pilihan ketiga pula, memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dari kandang saksi dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas,” katanya.

Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan untuk Syed Saddiq membela diri bermula 22 hingga 24 Februari serta 13 dan 14 Mac dan 10 hingga 14 April tahun hadapan.

Terdahulu, penyandang kerusi Parlimen Muar itu yang memakai kot biru gelap tiba di Kompleks Mahkamah di sini kira-kira 9.15 pagi dengan ditemani ibu bapanya serta Setiausaha Agung Muda, Amir Hariri Abd Hadi.

Sekumpulan penyokongnya turut hadir di perkarangan luar kompleks mahkamah sebagai tanda solidariti terhadap beliau.

Pada 27 September lalu, pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula 21 Jun manakala pendakwaan serta pembelaan selesai berhujah pada 6 Oktober.

Antara saksi-saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan ialah ibu dan bapa Syed Saddiq, Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz dan Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff serta Rafiq Hakim Razali, iaitu bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) serta Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Hidayah Kamarudin, Syahmeizy Sulong dan Asbi Munip.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Mohd ‘Afif Ali, manakala peguam Gobind Singh Deo dan Haijan Omar mewakili Syed Saddiq.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana Armada berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan dikemuka mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri, iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya, ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, iaitu hasil daripada aktiviti haram.

Cookie Consent with Real Cookie Banner