AL KHOR, Qatar – Penyokong Qatar membalas bantahan Piala Dunia Jerman pada Ahad dengan memegang gambar bekas pemain pasukan kebangsaan Mesut Özil dan menutup mulut mereka semasa perlawanan menentang Sepanyol.
Sekumpulan penyokong memegang lakaran Özil yang dilukis dengan tangan, manakala yang lain menunjukkan gambarnya beraksi untuk Jerman.
Tindakan protes itu jelas sebagai tindak balas kepada isyarat pemain Jerman pada hari Rabu, apabila mereka menutup mulut mereka untuk membantah FIFA berikutan tindakan badan induk itu mengekang lilitan lengan “One Love”.
Gerak isyarat itu adalah tindak balas terhadap tindakan FIFA menafikan rancangan tujuh pasukan Eropah untuk memakai lilitan lengan yang dilihat sebagai teguran kepada negara tuan rumah Qatar dan rekod hak asasi manusia mereka.
Penyokong Qatar muncul pada Ahad lalu dan mempersoalkan layanan Jerman sendiri terhadap Özil, bekas pemain yang meninggalkan pasukan kebangsaan selepas menjadi sasaran penderaan perkauman dan dijadikan ‘kambing hitam’ selepas penyingkiran awal Piala Dunia Jerman pada 2018.
Özil, keturunan pendatang Turki kelahiran Jerman, menuduh persekutuan negara itu, peminat dan media perkauman dalam layanan mereka terhadap orang yang mempunyai keturunan Turki.
“Saya orang Jerman apabila kita menang, tetapi saya seorang pendatang apabila kita kalah,” kata Özil ketika itu.
Isu itu bermula sebelum Piala Dunia 2018 apabila Özil bergambar dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan semakin kontroversi selepas kejohanan, dibantu oleh kenyataan agresif dari pengurus pasukan Jerman Oliver Bierhoff dan presiden persekutuan pada masa itu, Reinhard Grindel.
Grindel kemudian berkata dia sepatutnya memberi Özil, yang bersara daripada pasukan kebangsaan pada Julai 2018, lebih banyak sokongan.
Jerman dan Sepanyol seri 1-1 dalam perlawanan di Stadium Al Bayt dengan kedua-dua pasukan berpeluang untuk mara ke pusingan 16 sementara menunggu keputusan akhir kumpulan mereka pada hari Rabu. – ESPN