KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijadual membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Feb depan.
Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul mengesahkan perkara itu, sambil memaklumkan, tiga minggu diperuntukkan bagi keseluruhan proses pembentangan Bajet 2023 termasuk perbahasan sebelum diluluskan.
“Ya, Bajet 2023 akan dibentang pada 24 Feb depan kerana sebelum ini hanya bajet mini dibentang bagi perbelanjaan perkhidmatan dan pembayaran gaji.
“Secara keseluruhan, proses pembentangan bajet dan perbahasan termasuk urusan jawatankuasa serta dasar akan mengambil masa 21 hari,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Johari berkata, persidangan Dewan Rakyat akan bermula 13 Februari depan dan berlangsung selama 29 hari.
Beliau berkata, mesyuarat pertama Parlimen ke-15 akan membuka tirainya dengan titah ucapan diraja oleh Yang di-Pertuan Agong.
Pada 20 Dis lalu, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan Bajet Mini 2023 dan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022.
Pembentangan itu akan didahului dengan titah ucapan diraja sempena mesyuarat pertama Dewan Rakyat Parlimen ke-15 pada 13 Feb.
Ahli parlimen seterusnya akan membahaskan usul terima kasih selama tujuh hari sebelum Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2023.
Perbahasan Belanjawan 2023 akan berlangsung selama 18 hari. Dua hari terakhir – 29 Mac dan 30 Mac – dijadualkan untuk rang undang-undang kerajaan yang lain.
Awal tahun ini, pentadbiran Ismail Sabri Yaakob telah menjadualkan 28 hari untuk perbahasan Belanjawan 2023.
Bagaimanapun, Parlimen telah dibubarkan sebelum perbahasan berlangsung.
Selepas Anwar mengambil alih kerajaan, Dewan Rakyat meluluskan “belanjawan mini” pada 19 Dis untuk memastikan kelulusan parlimen bagi emolumen perkhidmatan awam akan dibayar pada 1 Jan 2023.
Dewan Rakyat akan bersidang semula bermula 12 Jun dan akan berlangsung sehingga 27 Jun.
Mesyuarat ketiga dan terakhir akan bermula pada 9 Oktober dan berakhir pada 30 Nov.
Pembentangan Belanjawan 2024 pula dijadual berlangsung pada 19 Nov tahun depan.
Secara keseluruhannya, Dewan Rakyat dijadual bermesyuarat selama 71 hari, berbanding 68 hari ketika sebelum pandemik 2019.